Monday, June 14, 2021

Dulu ‘Kuwait Debacle 1981’, kini ‘Dubai Disaster’ menggamit Harimau Malaya?

Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

‘BENCANA Kuwait 1981’ sentiasa akan terpahat sebagai memori hitam bola sepak Malaysia.

Parutnya masih ada pada James Wong, Hassan Sani, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Jamal Nasir Ismail yang kini bergelar Datuk mahupun Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang Datuk R. Arumugam dan mendiang Chow Chee Keong.

Segar dengan kejayaan layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, bintang-bintang kita itu mengharungi Kelayakan Piala Dunia Kumpulan 3 Asia dari 21 hingga 27 April 1981 sambil cuba diperkasakan dua pemain kelab profesional Hong Kong, Chow dan Yip Chee Keong.

Ada cerita kurang enak timbul. Khabarnya timbul sikap berpuak-puak, amalan dan layanan pilih kasih oleh kalangan pegawai sehingga Lembaga Siasatan ditubuhkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila pasukan didakwa turut dikaitkan rasuah.

Inilah Kelayakan Piala Dunia – peta awal laluan skuad mendiang Karl Heinz Weigang ke Espana ‘82 (Sepanyol) yang kesudahannya terkandas kerana dikalahkan Korea Selatan 2-1, dibelasah tuan rumah 4-0 dan terikat 2-2 dengan Thailand.

Majukan segera atau fast forward ke Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang baki pusingan keduanya akan disambung Khamis ini di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE). Selain tuan rumah, Harimau Malaya akan berdepan Vietnam (11 Jun ini) dan Thailand (15 Jun ini) dalam Kumpulan G.

Kedengaran suara kalangan media tanah air, ada pemain yang mindanya sudah tidak sepenuhnya ke padang.

Sejak dipanggil ke kem latihan pusat di Bukit Jalil pada 16 Mei lalu hingga dua persahabatan dibelasah Kuwait 4-1 dan Bahrain 2-0 di Dubai dan Riffa pada 23 dan 28 Mei lalu, ‘Mamat’ ini seperti masih terganggu dengan hal-hal luar bola sepak.

Namun barisan kejurulatihan negara pimpinan Tan Cheng Hoe masih membawanya bersama 24 lagi pemain. Kalau tiada angin, masa ‘kan pokok boleh bergoyang? Jika tiada ikan di bawah air, takkan buih tiba-tiba muncul?

LIRIDON Krasniqi, perantara naturalisasi Malaysia, ‘impaknya’ membawa gol kedua Bahrain. – Foto FAM

Tiba-tiba juga, awal pagi ini media Malaysia dikirim berita kemasukan Johan Dion Cools sebagai pemain ke-26 Harimau Malaya selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin membuat ‘teaser promonya’ menerusi satu klip video FAMTV, tengah hari semalam (waktu Malaysia).

Kenapa dan bagaimana boleh ada pemain ‘last minute’ atau bidan terjun? Adakah tangan ghaib yang boleh melangkau Cheng Hoe? Kebebasannya mencatur dan membina pasukan negara sejak 22 Mac lalu telah tergugat?

Seperti dua Chee Keong dengan reputasi liga pro Hong Kong 1981, Cools yang akan berusia 25 tahun pada Jumaat ini, didapati berpengalaman luas Liga Belgium dan Denmark (kini bersama FC Midtjylland) malah pernah menyarung jersi skuad belia negara angkat pertamanya.

Pakejnya memang lengkap – selain berdarah kacukan Belgium-Malaysia, anak jati Kuching, Sarawak yang berketinggian 1.84 meter ini turut dikatakan pakar bek kanan mahupun kiri dan tengah.

Kemasukannya menjadikan sudah ada enam pemain berstatus warisan dalam Harimau Malaya selepas Brendan Gan, Matthew Davies, Junior, La’Vere Corbin-Ong dan Samuel Somerville.

Mengapa ditambah calon di barisan belakang yang sudah pun sesak. Sebab dibolos enam gol oleh Kuwait dan Bahrain? Di mana pula kebisaan jentera penggempur kita dengan penampilan Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi, dua bekas warga Brazil dan Kosovo?

Mengapa tidak seorang penyerang baharu lagi yang pernah dicuba Cheng Hoe di kem latihan pusat di Johor Bahru sejak Mac lalu sebagai alternatif kalau betullah dia ‘senjata rahsia’ atau ‘hadiah surprise’ hari jadi ke-53 buat ketua jurulatih itu, Ahad lalu.

Kenapa bukan Ramadhan Saifullah Usman daripada Johor Darul Ta’zim FC? Atau penyerang Terengganu FC, Faisal Abdul Halim mahupun pemain Melaka United, S. Kumaahran?

Para peminat tanah air pasti tertanya-tanya sejauh mana kombinasi dan persefahaman Mr. Cools dengan 25 rakan sepasukannya sekarang hanya ketika tinggal dua hari untuk berdepan UAE, pasukan di ranking ke-73 dunia dan begitu ‘berapi’ dengan penyerangnya, Ali Ahmed Mabkhout dalam dua persahabatan pada 29 Mac dan 24 Mei lalu, membelasah India 6-0 dan Jordan 5-1?

Liridon dan de Paula yang sudah menyarung pelbagai jersi pasukan Liga Malaysia pun dalam sidang media secara maya menurut Cheng Hoe, masih bergelut untuk membentuk keserasian, inikan pula Cools?

Weigang dalam laporan akhbar 1981 pernah menyatakan kekalahan teruk skuad bimbingannya kerana tiadanya persefahaman dan semangat kerja sepasukan selain terlalu menonjolnya corak permainan ‘kau-kau, aku-aku’.

“Mereka kalah 0-2 (kepada Bahrain), jadi apa perlunya bawa masuk pemain naturalisasi? Dulu tanpa pemain naturalisasi pun, Malaysia layak Olimpik. Sekarang bawa mereka pun, tidak boleh bantu pasukan menang.

“Saya marah kenapa mereka (pemain naturalisasi) tidak dapat beraksi macam dalam Liga Super sampai (diberikan status) naturalisasi. Bermainlah demi cinta kepada negara,” kata Santokh dalam satu laporan Bernama, kelmarin.

SKUAD negara ke Kelayakan Piala Dunia 1981 yang digelar ‘Kuwait Debacle’. – Foto Dunia Sukan Utusan

Pada 3 September 2015, Stadium Mohammed Zayed, Abu Dhabi, UAE pernah menyaksikan rekod kekalahan terbesar Harimau Malaya, 10-0 kepada tuan rumah dalam saingan Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Khairulazhan Khalid, Junior dan Matthew Davies ialah survivor pasukan bimbingan Dollah Salleh itu yang masih menganggotai pasukan negara sekarang.

Tolonglah, jangan sampai ada pula episod ‘Dubai Disaster’ selepas ‘Kuwait Debacle’!-BebasNews

Please follow and like us:

Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-’96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2010-17 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Related Posts

Comments

Stay Connected

22,044FansLike
0FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Recent Stories